Dunia hamster bermula di sini..dan berakhir July 1, 2008
Posted by aburafeeq in A Pet's Life.Tags: hamster research
add a comment
Jakarta, 1 July – 2 hamster dilaporkan mati di Baitul Jannati. Sebab kematian masih diselidiki.
Begitulah status YM aku malam ni. Sepasang hamster belaanku telah mati secara mendadak, baru aku sedar jam 8pm WIB(Waktu Indonesia Barat) tadi. Besok ujian THT, namun aku menyempatkan waktu untuk membersihkan cage hamster tersebut yang dapat menjadi sumber penyakit. Kemungkinan besar sebab kematian adalah infeksi. Disini ada sedikit gambar untuk diteliti.
Winie02(betina) dan Winie04(jantan), spesimen pertama dalam belaanku.
Ada dua lagi hamster yang masih hidup di rumah ni. Winie01(jantan) dan Winie03(betina). Winie01bukan aku yang beli. Winie03 diletakkan di cage yang sama dengan Winie01 untuk mendapatkan hasil pembiakan hybrid antara dua species yang berbeza, Russian Campbell(01) dan Panda Winter White(03).
InsyaAllah next time for more details..
Aku kembali menulis June 29, 2008
Posted by aburafeeq in Diari Kehidupan.add a comment
Setelah sedikit sebanyak jerih payah yang ditempuhi dalam lapangan ini, aku memutuskan untuk lebih telus dalam menulis, meluahkan di sini segala keperitan yang tidak terungkap melalui kata bicara.
Bulan Julai hampir tiba. Aku harus lebih giat berusaha, memperbaiki diri selanjutnya ummah ini. Amanah demi amanah terbebankan kepada diri kerdil ini. Entah kenapa tubuh ini masih jauh dari hamparan sejadah, untuk berdiri di hening malam bertahajjud kepada Allah, sedangkan keresahan jiwa ini tidak mungkin terungkap pada sekadar tulisan cuma. Ya Allah, kau tsabatkanlah hati ini!
Sang Murobbi, filem yang bakal keluar bulan Julai ini. Ikhwan seperjuangan juga mula berbicara tentang filem KCB=Ketika Cinta Bertasbih, yang dikatakan jauh memenuhi standard kualiti penerjemahan kehidupan seorang Muslim berbanding filem box-office Ayat-ayat Cinta yang lepas.
Sang Murobbi. Pekerjaan tetapku. Selain amanah sebagai pelajar, tholibul ‘ilm. Memasuki semester yang baru selepas cuti semester ini membuatku sedikit berdebar. Sesuatu bakal terjadi. Baik atau buruk, aku serahkan pada Allah yang Maha Hakim. Hasbiyallah wa Nikmal Wakil.
Semoga aku mampu terus menulis sesuatu yang bermanfaat. InsyaAllah blog ini selain memuatkan diari dakwahku, juga diselitkan sedikit hiburan yang ada sepanjang perjalanan seorang pelajar seperti aku. Tentang alam. Dunia hamster dan sejenisnya, di mana aku menjalankan research yang minimal. Terhibur melihat gelagat si kecil. Wallahu a’lam.
Mengapa Aku Menulis? December 5, 2007
Posted by aburafeeq in Majalah Syahadatul Haq.add a comment
Hmm…Dah hampir jam 0100 WIB namun saya masih belum tidur, bio clock bagi pelajar2 medic ni memang takdapat dijangka.. Sudah lama tidak menulis, seperti biasa blog2 yg saya mula menulis akan menjelaskan sebab saya menulis. Tapi kali ni saya nukilkan sebab2 golongan profesional menulis, khususnya dalam hal2 berkaitan Islam yang syumul. Pada mulanya saya belum lagi ingin mengumumkan kehadiran blog ini namun ada sahabat kepada sahabat di Adelaide dan UK telahpun menyedari kehadiran blog hingusan ni, membakar lagi semangat saya untuk memperbaiki momentum penulisan blog ni. Ingatkan nak buat halaman baru “ummu rafeeqah” namun saya teringat pesan murobbi di Intec agar tetapkan matlamat, hingga saya dan dia saling berbahas tentang manhaj dan methodologi yang kami bawa, sehingga motto majalah Syahadatul Haq tercapai, yaitu “Be Witness of The Truth”.
Kepada sahabat2 yg melawati blog yg belum siap ni, harap dapat bagi input untuk memperbaiki isi mahupun kulit blog ini.. Setakat ni saya hanya mampu memasukkan artikel bermanfaat dari tulisan orang lain, namun ان شاء الله akan datang saya masukkan artikel2 yang telah saya hasilkan. Semoga bermanfaat!
Ikuti wawancara Pengarang Sastera, Berita Harian, SALBIAH ANI (BH), dengan Dr. Danial bin Zainal Abidin (DD):
BH: MENGAPAKAH Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?
DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.
BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?
DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.
BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?
DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata ‘tidak boleh’ pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.
BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yangsedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untukmenaikinya’ dalam buku terbabit?
DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.
BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?
DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.
BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?
DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.
BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?
DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.
BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan?
DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.
BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu?
DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com
Ba’da Ramadhan : Hari Lahirku… October 24, 2007
Posted by aburafeeq in Mentoring Tarbiyah.1 comment so far
Ramadhan 1428H yang lalu, saya dan beberapa ikhwan dan akhwat telah berkumpul dalam rangka i’tikaf di masjid. Saya telah diamanahkan untuk menyampaikan Fiqh Doa kepada salah satu halaqah pelajar-pelajar junior di satu sesi selepas Subuh. Sebagai maklumat tambahan kepada sahabat-sahabat yang telah mengikuti tajuk Fiqh Doa tersebut, saya mengajak sahabat-sahabat untuk membaca dan memanfaatkan artikel di bawah ini :
Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa Mustajab
(Sumber : http://drmaza.com/?p=88, 24 Oktober 2007)
Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya) Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6). Firman Allah: (maksudnya) Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14). Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas: “Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266). Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka. Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu. Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya. Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.
Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya. Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).
Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya): Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).
Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya): Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60). Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.
Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi: Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih). Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.
Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi: Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim). Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat: Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih). Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung? Benarlah sabda Rasulullah: Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani). Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.


